Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Aina Abdul terharu dan bersyukur apabila menerima anugerah ‘Visual Icon Of The Year’ pada acara berprestij, SEBA Awards -Unity 2023 yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Aina berkata, pengiktirafan itu juga menyuntik semangat buatnya dan pasukan Aina Abdul Entertainment untuk terus bekerja keras lagi pada masa depan.
“Syukur atas pengiktirafan ini. Malam yang agak janggal bagi saya kerana selalunya saya hadir untuk menghiburkan tetamu tetapi kali ini saya yang menerima anugerah.
“Sebenarnya saya juga tidak sangka akan menerima anugerah ini kerana semua orang mengetahui saya baru bertapak dan masih baru lagi dalam bidang perniagaan. Syarikat Aina Abdul (M) Sdn Bhd juga baru setahun jagung usianya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai anugerah lagi, kata Aina, setiap anugerah yang diterima juga menjadi pembakar semangat buatnya.
“Terima kasih kepada Tuhan yang maha pemberi. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada ibu, adik beradik dan team saya, Ainations serta semua kerana mendoakan saya selama ini,” katanya.
Ditanya sama ada anugerah dan pengiktirafan seperti itu penting untuk mengukuhkan nama dan jenama Aina Abdul dalam industri seni pula, kata Aina, dia cuba buat yang terbaik untuk mengekalkan nama dan jenamanya itu.
“Bukan senang untuk menjadi artis kerana laluannya juga sangat sukar untuk bertahan dalam industri seni.
“Apapun yang apa diberi, saya menerima dengan lapang dada dan sentiasa bersyukur,” katanya.
SEBA Awards ini anjuran Yayasan Usahawan Malaysia dan bertemakan Unity Celebrating Entrepreneurs untuk mengetengahkan firma dan usahawan terkemuka di negara ini.