Skip to content

Anak syarikat TNB cemerlang di Anugerah SEBA

  • by

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggondol anugerah berganda pada majlis Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Ke-5 (Anugerah SEBA) apabila anak syarikat milik penuhnya GSPARX Sdn Bhd dan Allo Technology Sdn Bhd memenangi anugerah PKS terbaik.

TNB berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap GSPARX atas usahanya dalam memacu peralihan tenaga di Malaysia kepada tenaga boleh baharu, kata Ketua Pegawai Runcitnya Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

“Ia menunjukkan kami berada di landasan yang betul dalam usaha kami meningkatkan inisiatif untuk mencapai agenda hijau negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

GSPARX, entiti utama yang menyediakan penyelesaian panel fotovoltaik (PV) solar bumbung kepada pelanggan runcit di Malaysia meraih anugerah Jenama Terbaik dalam Penyelesaian Solar Bumbung dalam Memperkasa Tenaga Hijau pada majlis yang diadakan pada 15 Mac lalu di ibu negara.

Allo, pemain utama dalam pembangunan infrastruktur jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) untuk menyokong pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) kerajaan memenangi anugerah Jenama Terbaik dalam Perkhidmatan Infrastruktur Jalur Lebar Syarikat Telekomunikasi.

Anugerah SEBA adalah inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan Usahawan Malaysia, yang bertujuan menyediakan platform kepada usahawan bagi pengiktirafan, perangkaian dan pertumbuhan berterusan.

Ia memberi penghargaan kepada syarikat yang mencatatkan prestasi cemerlang dalam industri mereka dalam bidang strategi perniagaan, metrik pertumbuhan dan amalan terbaik.

-BERNAMA

Berita Harian. (2021, April 4). Anak Syarikat TNB Cemerlang di Anugerah Seba. Berita Harian. Retrieved November 23, 2021, from https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/04/803407/anak-syarikat-tnb-cemerlang-di-anugerah-seba.