Skip to content

Lebih banyak syarikat baharu didaftar berbanding yang ditutup tahun lalu

  • by

KUALA LUMPUR: Bilangan syarikat baharu yang didaftarkan mengatasi bilangan syarikat yang ditutup tahun lalu walaupun menghadapi wabak Covid-19.

Ini menunjukkan keupayaan usahawan untuk seiring dengan trend dan norma baharu selain menggunakan teknologi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Merujuk statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau berkata sebanyak 437,769 syarikat baharu telah didaftarkan, termasuk 131,139 syarikat dalam talian, berbanding 78,420 syarikat yang ditutup.

“Ini menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan teknologi, mereka akan berjaya. Bagi menjadi usahawan yang berjaya, mereka perlu membuat keputusan dengan segera dan dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia untuk merebut peluang baharu.

“Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang dan mereka yang sebaliknya, akan menghadapi kesukaran,” kata beliau dalam ucapan pada majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan (SEBA) 2020 malam tadi.

Sebanyak 55 anugerah berprestij diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaian Anugerah.

Junaidi berkata, kementerian akan memberikan penyelesaian yang menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro sehingga kepada mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi dan bermodal tinggi.

Kata beliau, kementerian dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk keusahawanan di Malaysia bagi berkembang maju.

“Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing anda, memantau kemajuan anda dan memastikan anda mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, matlamat kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan bukan hanya “cakap kosong”.

“Kami mempunyai pelan untuk mencapainya,” kata beliau.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group Kamarul A Muhamed telah dianugerahkan Usahawan Terbaik, manakala Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan Carsome Eric Cheng serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy Teoh Jiun Ee telah dianugerahkan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik.

Lebih Banyak syarikat baharu didaftar Berbanding Yang … (n.d.). Retrieved November 23, 2021, from https://stg.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/26/lebih-banyak-syarikat-baharu-didaftar-berbanding-yang-ditutup-tahun-lalu/.